Saturday 4 February 2012

PENDAHULUAN KARANGAN

Jenis-jenis Pendahuluan

1. Pendahuluan amat penting dalam sesebuah karangan kerana calon akan cuba menyatakan pendirian awalnya tentang sesuatu topik yang telah dipilih untuk ditulis sebagai pembuka bicara dalam penulisannya. Pendahuluan yang menarik akan menyebabkan pemeriksa akan berminat untuk terus membaca karangan anda.

2. Sehubungan itu, pelajar mesti berupaya mengetahui dan menulis sekurang-kurangnya 6 jenis perenggan pendahuluan YANG SESUAI DENGAN KARANGAN TIDAK BERFORMAT, iaitu;

(a) pendahuluan jenis definisi
(b) pendahuluan jenis pendapat
(c) pendahuluan jenis peribahasa
(d) pendahuluan jenis suasana
(e) pendahuluan jenis persoalan
(f) pendahuluan jenis sejarah

(a)Pendahuluan jenis definisi :
Pendahuluan ini meminta pelajar memberikan takrif, makna, atau definisi tentang sesuatu tajuk yang dikemukakan.
Contoh : Inflasi Sifar
Inflasi ialah kenaikan harga barangan dan perkhidmatan untuk sesuatu jangka masa. Inflasi tercetus apabila terdapat lebih permintaan daripada penawaran bagi barangan dan perkhidmatan. Pada masa ini Malaysia menikmati kadar inflasi yang rendah. Kadar inflasi bagi tahun 1994 ialah 3.7% dan bagi 11 bulan pertama tahun 1995 kadarnya menurun kepada 3.5%.

(b)Pendahuluan jenis pendapat :
Pendahuluan ini membolehkan anda memuatkan pendapat seseorang tokoh atau pendapat masyarakat umum tentang sesuatu isu.
Contoh : Masalah Disiplin Pelajar
Masalah disiplin dalam kalangan pelajar sekolah timbul lagi. Kali ini ditimbulkan sendiri oleh Menteri Pendidikan. Menurut beliau, masalah dan kedudukan disiplin para pelajar sekolah dewasa ini berada pada tahap yang membimbangkan. Sehubungan dengan hal itu, beliau menyarankan supaya hukuman rotan diadakan semula untuk menghukum mereka yang melanggar disiplin atau melakukan kesalahan jenayah atau salah laku di sekolah.

(c )Pendahuluan jenis peribahasa :
Pendahuluan jenis ini meminta anda memanfaatkan sekurang-kurangnya satu atau lebih peribahasa atau kata-kata hikmat yang sesuai dengan kehendak soalan.
Contoh : Semangat Gotong-royong
“Ringan sama dijinjing, berat sama dipikul”, “Gunung sama didaki, lurah sama dituruni” merupakan peribahasa-peribahasa yang sering kita dengar. Namun demikian, sejauh manakah kita mengamalkan peribahasa tersebut dalam kehidupan kita bermasyarakat seharian? Peribahasa-peribahasa yang dinyatakan di atas adalah antara peribahasa Melayu yang memberi mesej yang jelas kepada kita tentang betapa pentingnya semangat bergotong-royong, bermuafakat dan bekerjasama di kalangan ahli masyarakat.

(d). Pendahuluan jenis suasana :
Anda diminta menggunakan kebijaksanaan untuk menggambarkan sesuatu tajuk melalui suasana dan gambaran yang sesuai dan nyata.
Contoh : Pengaruh Muzik Barat
Sesak. Di kiri, kanan dan hadapan pentas di Stadium Negara dipenuhi dengan anak-anak muda menjerit-jerit yang melambangkan ketidaksabaran menantikan kemunculan „Def Leopard‟ yang didatangkan khas dari United Kingdom. Begitu ghairah anak-anak muda menanti akan kemunculan artis pujaan mereka. Kehangatan suasana tidak menghalang untuk mereka berhibur malahan terdapat pula pasangan remaja yang tidak lagi mengenali erti batas pergaulan. Saat-saat cahaya laser dipancarkan dan pada saat itu jugalah jeritan berfrekuensi tinggi menggegarkan stadium. Begitulah gambaran anak-anak muda kita menerima kehadiran muzik barat pada zaman yang serba moden ini.

(e)Pendahuluan jenis persoalan :
Untuk menulis pendahuluan jenis ini, anda perlu mengemukakan beberapa ayat tanya. Persoalan yang dikemukakan boleh dijawab dan/atau tidak perlu berjawab.
Contoh : Mengapa Makan Di Luar?
Makan di luar seolah-olah sudah menjadi satu cara hidup bagi kebanyakan penduduk di Malaysia. Hal ini dibuktikan dengan terdapatnya perniagaan makanan dalam bentuk gerai, restoran atau pusat makanan segera di merata-rata tempat. Mengapakah keluarga perlu makan di luar? Adakah ini merupakan satu tabiat yang sihat? Mungkin ramai yang bersetuju jika kita merumuskan bahawa makan di luar bertujuan untuk mendapatkan perkhidmatan masak, menghidang dan mewujudkan persekitaran yang sesuai untuk menjamu selera. Persoalannya, adakah tabiat ini sesuai dengan budaya masyarakat Malaysia?

(f). Pendahuluan jenis sejarah :
Jika anda memilih pendahuluan jenis ini, sewajarnya anda dapat mengaitkan tajuk tersebut dengan sejarah silam/lepas dengan tepat.
Contoh - Bahasa Melayu : Mengapa Diragui?
Suatu ketika, bahasa Melayu pernah diakui sebagai bahasa yang maju dan berpengaruh. Buktinya, bahasa Melayu telah menjadi lingua-franca sejak Zaman Kesultanan Melayu Melaka, Palembang, Majapahit, Pasai dan Acheh. Bahasa Melayu merupakan bahasa diplomatik, pemerintahan, serta ekonomi dan sekali gus meletakkan bahasa Melayu pada tahap yang cukup tinggi. Namun, sejak akhir-akhir ini kita agak kesal kerana kedaulatan dan kewibawaan bahasa Melayu telah dilemahkan oleh bangsa kita sendiri. Mengapakah hal ini terjadi?

KAEDAH MEMBINA PERENGGAN PENDAHULUAN
1.Jumlah ayat dalam perenggan ini tidak terlalu panjang dan memadai hanya 4 hingga 6 ayat sahaja.
2.Dalam perenggan ini, calon tidak dibenarkan memasukkan sebarang isi atau fakta yang berkaitan dengan soalan yang dipilih. Sebaliknya isi atau fakta akan dibincangkan dalam perengggan berikutnya.
3. Ayat-ayat yang dikemukakan dalam perenggan pendahuluan hendaklah bersifat rangsangan agar pemeriksa akan berminat untuk terus membaca hasil penulisan anda.
4.Pada ayat yang terakhir perenggan pendahuluan, anda dikehendaki menyatakan pendirian anda tentang sesuatu topik yang telah anda pilih.
Contoh soalan” Sektor pertanian di negara ini perlu dimajukan bagi membantu masyarakat petani.” Bincangkan.
Negara Malayasia pada suatu masa dahulu pernah menjadi pengeluar getah asli terbesar di dunia. Kini, ladang-ladang getah telah banyak diganti dengan penanaman kelapa sawit disebabkan permintaan minyak kelapa sawit yang kian bertambah di pasaran dunia.Selain getah dan kelapa sawit, terdapat pelbagai jenis pertanian lain seperti kelapa, pisang, orkid, sayur-sayuran, tembakau dan sebaginya yang menjadi punca pendapatan para petani di negara ini. Oleh itu,terdapat banyak faktor yang menyebabakan sektor pertanian di negara ini perlu dimajukan bagi membantu masyarakat petani.

PENDAHULUAN UNTUK KARANGAN BERFORMAT.
1.LAPORAN:
Anda perlu menyatakan topik yang hendak dilaporkan, masa, tempat dan sebagainya sebagai pendahuluan.
Contoh,”Laporan faedah-faedah menghadiri kurusus kerjaya.”
Baru-baru ini saya telah menyertai kursus kerjaya yang diadakan di Universiti Sains Pulau Pinang oleh Jabatan Kaunseling. Seramai tiga puluh orang peserta dari seluruh negara telah menyertai kursus ini. Kurusu ini diadakan dari 12 Febuari hinggan 18 Febuari 2008.Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan sepanjang kurusus ini diadakan untuk para peserta. Bagi saya, kususu ini telah banyak mendatang faedah kepada para peserta.

2.SURAT KIRIMAN RASMI
Anda perlu memperkenalkan diri anda terlebih dahulu dan kemudian menyatakan tujuan anda menulis surat tersebut.

3. SURAT KIRIMAN TIDAK RASMI
Mulakan pendahuluan anda dengan bertanya khabar dan perkara-perkara di persekitaran anda seperti hal keluarga, hal masa kini dan sebagainya. 

4.SYARAHAN
Syarahan hendaklah dimulakan dengan kata alu-aluan terhadap hadirin yang yang datang termasuklah para yang hakim mengadilinya. Seterusnya menyatakan tujuan anda berhadapan dengan mereka iaitu membincangkan tajuk yang diberikan.

5.PERBAHASAN
Mulakannya dengan kata alu-aluan kepada hadirin yang datang termasuklan para hakim. Seterusnya anda hendaklah menyatakan pendirian anda sama ada sebagai pencadang atau pembangkang yang pertama , kedua, ataupun ketiga. Jika anda sebagai pencadang atau pembangkang pertama, anda perlu menjelaskan definisi tajuk terlebih dahulu sebelum mengemukakan hujah-hujah. Sebaliknya jika anda bertindak sebagai pencadang atau pembangkang kedua ataupun ketiga, sila bidas hujah-hujah lawan sebelum mengemukakan hujah anda sendiri pada peringkat pendahuluan. 

6.TAKLIMAT, UCAPAN DAN CERAMAH
Ketiga-tiga jenis ini hendaklah dimulakan dengan kata alu-aluan kepada hadirin yang datang. Seterusnya anda nyatakan tujuan anda tampil di khalayak ramai iaitu sama ada untuk menyampaikan taklimat, berceramah dengan menyatakan tajuknya ataupun memberikan ucapan.

7.RENCANA
Karangan jenis ini iaitu sama ada rencana di akhbar ataupun di majalah, boleh dibuatkan pendahuluan sama seperti pendahuluan karangan tidak berformat iaitu teknik definisi, peribahasa, persoalan dan sebagainya kerana jenis karangan ini lebih bersifat terbuka untuk menyampaikan fakta-fakta. 

8.CERPEN.
Karangan jenis ini yang merupakan penulisan keratif, memerlukan pendahuluan yang bersifat eksposisi atau pendedahan seperti yang pernah anda pelajari dalam komsas.

1 comment:

  1. Apple Watch Stainless Steel vs Titanium | TITIAN ONLINE | TITIAN
    In our review, we've found out 2013 ford focus titanium hatchback how Apple watches have the lowest polished titanium prices. apple watch titanium and Apple titanium helix earrings Watch Stainless Steel ($20.95). titanium tv apk

    ReplyDelete

Sila komen . satu pun dah memadai . TERIMA KASIH (: